GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Cara berwuduk atas balutan luka atau patah

Kesinambungan dari Kisah Pabila suami Kehilangan Kaki.. entry yg lepas... aku nak kongsi satu info agama berkaitan wuduk... jika luka pembedahan melibatkan anggota wuduk ataupun patah yg melibatkan anggota wuduk, maka bagaimana cara untuk mengambil wuduk... Secara Amnya dijelaskan Pesakit harus sapu air pada tampalan, tak perlu dibuka. Baca info dibawah untuk lebih kefahaman... moga bermanfaat...

Cara berwuduk atas balutan luka atau patah


WUDUK ialah syarat sah dalam solat. Namun, ada ketikanya manusia tidak dapat menyempurnakan wuduk disebabkan halangan tertentu antaranya sakit dan terpaksa memakai balutan yang menghalang air sampai ke anggota diwajibkan ketika berwuduk. 

Dalam fiqh Islam, balutan atau tampalan yang diletakkan di atas tulang yang patah supaya ia bersambung kembali dipanggil al-jabirah, manakala kain ataupun seumpamanya yang digunakan bagi membalut luka dan ditampal dengan kuat supaya luka boleh sembuh dinamakan al-ishabah. 

Apabila berlaku keadaan pesakit terpaksa menggunakan al-jabirah dan al-ishabah terhadap anggota wuduk, maka tatacara bersuci sama ada wuduk dan mandi junub berubah kerana telah menghalang air dari terkena anggota wuduk. 

Memandangkan membuka balutan memudaratkan pesakit, maka beberapa kaedah menyapu di atas jabirah dan ishabah sudah digariskan ulama. 

Pendapat pertama kalangan Muqabil al-Azhar dalam Mazhab Syafie, Hanafiyah, Malikiyah, dan Hambali berpendapat hukum menyapu air ke atas jabirah adalah wajib. Ia perlu membasuh anggota wuduk yang sihat dan hanya menyapu pada jabirahnya. 

Ibn Umar berkata, siapa yang mendapat luka dan dibalut, maka hendaklah dibasuh anggota di luar balutan dan diusap saja balutan itu. Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musanif. Namun, majoriti ulama mengambil panduan asas isu ini berdasarkan hadis Jabir. 

Jabir meriwayatkan: Kami telah keluar bermusafir. Tiba-tiba salah seorang lelaki yang bersama kami tertimpa batu lalu kepalanya luka. Kemudian dia bermimpi basah (ketika tidur). Lalu dia bertanya kawan-kawannya: Adakah kamu berpendapat terdapat rukhsah untuk aku bertayammum? Kawannya menjawab: Kami dapati tiada keringanan untuk kamu bertayamum disebabkan kamu mampu memperoleh air. Lalu lelaki itu mandi dan kemudian mati (akibat mandi). Ketika kami sampai kepada Rasulullah dan menceritakan hal itu, berkatalah Nabi: Mereka membunuhnya. Semoga Allah memerangi mereka. Mengapa mereka tidak bertanya apabila tidak mengetahui? Sesungguhnya ubat kebodohan itu adalah bertanya. Memadai untuknya bertayamum, membalut dengan kemas lukanya menggunakan kain dan menyapu ke atasnya serta mandi pada seluruh tubuhnya. (Hadis riwayat Abu Daud dan Baihaqi) 
Dapat difahami daripada hadis Jabir ini ialah, kita boleh menyapu pembalut kain semasa berwuduk dan mandi junub. Sapuan di atas pembalut itu dapat menyucikan kita daripada hadas kecil dan besar. 

Secara logiknya, bahagian anggota wuduk yang luka dan berbalut tidak mungkin dibasuh kerana kepentingan kesihatan yang perlu dijaga. Oleh sebab itu, kelonggaran menyapu di atas balutan adalah suatu keperluan. 

Pendapat kedua ialah pandangan Ibn Hazm al-Zahiri yang menolak penggunaan hadis ini kerana baginya semua hadis berkaitan isu ini adalah daif. Katanya dalam al-Muhalla, tiada dalil al-Quran atau sunnah menggantikan basuhan dengan sapuan atas balutan. 

Pandangan pertama majoriti ulama lebih kuat berdasarkan penjelasan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam Majmuk Fatwa yang disokong ulama kontemporari seperti al-Qardhawi dan Abd Karim Zaidan. 

Ini bermaksud pesakit perlu membasuh anggota yang sihat dan hanya menyapu jabirah. Ada ulama mewajibkan tayamum selepas itu dan ada ulama tidak mewajibkannya. Namun, pendapat mewajibkan tayamum selepas itu lebih tepat berpandukan pandangan Syeikh Soleh al-Uthaimin. 

Kadar air yang wajib disapu atas balutan ditetapkan tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan. Dia juga tidak perlu membuka balutannya. Fuqaha mazhab Syafie, Maliki dan Hambali mewajibkan menyapu keseluruhan pembalut menggunakan air sekadar termampu. 

Perbuatan menyapu balutan ini dilihat lebih kuat berasaskan kemampuan sedia ada. Juga berdasarkan firman yang bermaksud: Oleh sebab itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu. (Surah at-Taghabun, ayat 16) 

Bangkit persoalan kepada kita sekarang, bagaimana jika ada pendapat mewajibkan bersuci terlebih dulu sebelum memakai balutan. Hujahnya, pandangan Imam an- Nawawi mengatakan tidak sah berasaskan qias hukum menyapu khuf. Malah solat dilakukan sepanjang tempoh itu perlu diganti. 

Ketetapan itu menyukarkan pesakit dalam persoalan ibadah dan dibimbangi akan berlaku pengabaian secara terus terhadap ibadah wajib seperti solat kepada pesakit. 

Ajaran Islam bukan boleh dipermudahkan sesuka hati namun, Islam juga tidak menyusahkan. Ini yang dinamakan rukhsah ataupun keringanan diberikan Allah SWT. Perlakuan yang dilakukan kerana rukhsah itu sah dilakukan selagi mana adanya darurat. 

Apabila hilang darurat, maka orang itu perlu kembali kepada hukum asal tanpa mengulangi ibadah dilakukan. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kesusahan (kepayahan) tetapi Dia mahu membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur. (Surah al-Maidah, ayat 6)

Sumber: Berita Harian

Jelaslah yang dapat disimpulkan bahawa, sah wuduk dengan hanya menyapu air di atas balutan sahaja... tak perlu air sampai ke kulit kerana dikiaskan dengan khauf dan ini merupakan keringanan atau rukhsah yg Allah berikan dalam melaksanakan ibadat... Sesungguhnya agama Islam itu mudah dan kita dilarang memudah-mudahkan dalam beragama... Moga bermanfaat dan jelas info diatas... :)

autopublish entry

9Ulasan

  1. thanks for the info Kak Maria..first time ni saya baca tentang ni

    BalasPadam
  2. islam itu mudah sebnrnya kan.. nice sharing.. terima kasih sudi berkongsi.. =)

    BalasPadam
  3. terima kasih atas info ni sis. Masih ramai lagi yang keliru pasal ni lalu meninggalkan solat dengan alasan tidak tahu.

    Semoga info ini dapat memberi pencerahan :)

    BalasPadam
  4. thanks share dik... Islam itu indah n tak penah menyusahkan hamba nya

    BalasPadam
  5. tak pernah mengalaminya lagi.. baru aiza tahu.. terima kasih di atas perkongsian maklumat ini.. :D

    BalasPadam
  6. Assalam. .isteri saya cedera dan perlu bantuan suami utk berwuduk, batal atau tidak wuduk isteri sekiranya bersentuhan dgn suami..ada tak mklumat tentang masalah tersebut, terima kasih

    BalasPadam
  7. Thanks sharing info ni, bagus buat panduan semua terutama ketika keadaan x mengizinkan berwuduk secara normal..

    BalasPadam
  8. Thanks sharing info ni, bagus buat panduan semua terutama ketika keadaan x mengizinkan berwuduk secara normal..

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ