Cabaran penyusuan bagi ibu bekerja | ~ Truly Love ~

Kisah Terbaru

Recent Post no Thumbnail by Bina Blog

04 April 2012

Cabaran penyusuan bagi ibu bekerja

salam pagi... 


Satu artikel tentang kebaikan susu ibu dan memberi kesedaran kepada kita tentang kebaikan susu ibu kpd bayi, ibu dan bapa...
Kump. Ibu2 Menyusukan di Facebook... panduan pantas dan mudah bg ibu2 yg inginkn ilmu dan info ttg breastfeeding...

*****************************************************************************
"TAK cukup masa dan melecehkan,” itu antara alasan yang selalu diberikan oleh ibu- ibu bekerja ketika ditanya mengapa tidak memberi penyusuan badan kepada bayi mereka.

Bukan tidak cukup pengetahuan, siapa jua tidak menafikan kebaikan susu ibu yang tidak ternilai ini. Namun begitu, tuntutan kerja membuatkan kebanyakan ibu mengambil keputusan bertukar kepada susu formula.

“Bekerja bukan masalah untuk meneruskan penyusuan badan. Berapa ramai ibu yang bekerja telah berjaya menyusukan anak mereka, malah ada antaranya bekerja dalam sektor yang lasak namun tidak mempunyai masalah untuk terus memberi penyusuan secara eksklusif,” kata Ketua Jururawat dan Kaunselor Penyusuan, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur, Marjinah Badli.

Menurutnya, tuntutan kerja bukanlah penghalang untuk ibu-ibu meneruskan penyusuan selepas habis berpantang asalkan mereka mempunyai niat dan keinginan yang tinggi.

Kemudahan yang ada ketika ini katanya, amat berkesan untuk membantu ibu-ibu meneruskan penyusuan biar pun mereka terpaksa berjauhan dengan bayi untuk beberapa ketika.

Katanya, masalah seperti susu tidak mencukupi, sukar melakukan penyimpanan dan pelbagai lagi boleh diatasi sekiranya ibu memperoleh pengetahuan yang sewajarnya.

“Perlu diingat, pengeluaran susu ibu adalah mengikut permintaan. Apabila tinggi permintaan, maka pengeluaran juga akan banyak.

“Sekiranya dari awal lagi kita memilih untuk memberi susu formula kepada bayi, maka badan telah memberi isyarat bahawa permintaan susu rendah lalu pengeluarannya pun menjadi berkurangan,” kata Marjinah yang telah terlibat dengan aktiviti penyusuan melebihi 20 tahun.

Bagi ibu-ibu yang bekerja, beliau menasihatkan mula melakukan penyimpanan stok susu dalam masa dua atau tiga minggu sebelum kembali bertugas. Ketika ini juga katanya, ibu perlu melatih bayi mereka menerima penyusuan bukan daripada payudara untuk membiasakan keadaan apabila ibu mula bekerja kelak.

Namun, penyusuan ini harus diberi oleh orang lain (bukan ibu) kerana ingatan dan sensitiviti bayi sangat tinggi terhadap ibu mereka.

“Kalau ibu yang berikan, memanglah bayi tak akan minum,” jelas beliau.

Proses mengepam susu harus dilakukan oleh ibu bagi menyediakan stok sepanjang ketiadaan mereka kelak. Untuk permulaan kata Marjinah, jika ibu berjaya mengumpul tiga botol kecil susu sudah mencukupi.

Aktiviti mengepam perlu diteruskan oleh ibu sepanjang waktu bekerja bagi menghalang proses pengurangan susu. Ketika ini, pengetahuan dan kelengkapan yang mencukupi mampu menjayakan hasrat ibu untuk terus memberi penyusuan secara eksklusif.

“Sediakan peralatan yang mencukupi seperti alat mengepam susu, botol penyimpan, beg penyejuk (cooler) dan pek ais beku,” katanya.

Menurut Marjinah, Pusrawi sangat menggalakkan ibu-ibu yang melahirkan bayi untuk memberi penyusuan anak secara eksklusif. Sekitar 60 peratus ibu yang memilih untuk bersalin di pusat rawatan itu katanya, berjaya melakukan penyusuan secara eksklusif selama enam bulan dan diteruskan sehingga dua tahun. Malah kakitangan Pusrawi juga digalakkan memberi penyusuan badan di mana bilik khas untuk mengepam susu turut disediakan.

Mengapa susu ibu?
Susu ibu adalah manisan syurga kurniaan Allah SWT pada ibu-ibu untuk diberikan kepada anak mereka. Ia mengandungi kolostrum bermanfaat yang bertindak sebagai imunisasi bagi bayi dalam masa satu jam pertama selepas dilahirkan,” kata Marjinah.

Malah dalam surah al-Baqarah ayat 233, Allah SWT berfirman bahawa, “Para ibu hendaklah menyusukan anak- anak mereka selama dua tahun penuh iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”

Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu turut menggalakkan semua ibu menyusukan anak dengan susu ibu selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun.

Menurut Marjinah, susu ibu adalah makanan istimewa yang menjadi penyambung silaturahim antara bayi dan ibu, membuatkan bayi berasa selamat dalam dakapan ibu dan mengesahkan bahawa itulah ibu yang melahirkannya.

“Pertama kali menyentuh puting payudara, mulut bayi akan menolak ke kanan ke kiri lalu meluahkan semula. Tapi ibu jangan berputus asa, teruskan memberi penyusuan dan selepas itu bayi akan menerima, ketika itulah kasih sayang antara ibu dan bayi terjalin,” katanya.

Keistimewaan susu ibu, kata Marjinah memanglah tidak ternilai. Ia jauh lebih baik dan selamat berbanding susu formula yang boleh mengundang pelbagai masalah kepada bayi. Pelbagai khasiat yang diperlukan oleh bayi sepanjang tumbesaran terdapat dalam susu ibu. Menurut penyelidikan yang dijalankan, anak-anak yang diberi susu ibu secara eksklusif dan meneruskannya sehingga dua tahun mempunyai tahap IQ yang tinggi serta mempunyai antibodi melawan penyakit yang kuat.

Berbanding susu formula yang penyediaannya merumitkan, susu ibu sedia diberi tidak kira masa memandangkan suhunya yang terkawal dan kebersihannya yang terjamin.

Selain manfaat kesihatan untuk bayi, penyusuan badan juga berupaya mengecutkan rahim ibu sekali gus membantu mereka menguruskan badan dengan berkesan.

Dari segi ekonomi pula kata Marjinah, dalam keadaan semasa yang memaksa kebanyakan keperluan harian meningkat, harga susu formula yang terdapat di pasaran juga turut melambung.

“Bayangkan satu tin susu formula dengan berat satu kilogram berharga sekitar RM50. Setiap bulan sekurang-kurangnya empat tin diperlukan, itu sekiranya mempunyai seorang bayi, bagaimana jika lebih?” soal beliau.

Bagi ibu bekerja yang ingin menyusukan anak mereka, Marjinah menasihatkan agar pertama sekali memasang niat yang betul dan perlu yakin dengan kemampuan diri.

“Dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang ini dan perlu jaga pemakanan. Sekarang ini bukan lagi zaman ibu berpantang makan ikan masin salai dengan nasi bersama lada hitam. Ibu perlu pemakanan seimbang untuk menyusukan bayi,” katanya. "TAK cukup masa dan melecehkan,” itu antara alasan yang selalu diberikan oleh ibu- ibu bekerja ketika ditanya mengapa tidak memberi penyusuan badan kepada bayi mereka.

2 comments

April 4, 2012 at 3:46 PM

sangat suka entry mcm ni...jom ibu2,jgn giveup !!:)

April 2, 2014 at 11:44 AM

ada officemate yg sentiasa pump susu utk anak dia..bangga dengan ibu bekerja macam dia..Kebaikkan susu ibu adalah lebih baik dari susu formula kan..

Post a Comment

Dapatkan Gadjet Murah Di Sini!

Lazada Indonesia
All Right Reserved to: myfirdz-trulylove | Designed by: Maria Firdz