GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

SOALAN & JAWAPAN BERKAITAN SOLAT JAMA’ MUSIM BANJIR


SOALAN 

Asalamualaikum ustaz, sahabat saya mintak tolong tanya pada ustaz.. Kes dia mcm ni, kalau badan perempuan tu kotor kena lumpur banjir lepas tu tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh buat jamak ke? Kes lagi satu, kalau baju kotor kena lumpur. Bnjir lepas tu ada tempat solat tapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak ustaz tolong jelaskan..syukran jazakallah "mntk maaf ggu *_*

SOALAN & JAWAPAN BERKAITAN SOLAT JAMA’ MUSIM BANJIR

JAWAPAN

Wa’alaikumussalam, 

Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah.

Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas

عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر. قيل لابن عباس : ما أراد إلى ذلك ؟ قال : أراد أن لا يحرج أمته
Ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.

Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN. 

KESIMPULAN

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad. 

Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat jama' itu, wudhu tetap WAJIB diambil.

Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu.

Cuma para ulama bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah. 

Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir

Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di tempat wudhu’, wudhu masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :
1) Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhu’. 
2) Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhu’. 
3) Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil wudhu.

Sekian, semoga dapat beramal dalam apa jua keadaan.

Sumber: Facebook Zaharuddin.net

12Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ